Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa agar rakyat Malaysia terutama Melayu-Islam agar keluar beramai-ramai pada 9 September ini untuk mengundi Perikatan Nasional (PN).
Menurut Tun, ini adalah kerana parti gabungan itu adalah parti yang benar-benar memperjuangkan nasib orang Melayu-Islam tanpa menganiaya orang-orang bukan Islam.
Beliau turut menzahirkan sokongan kepada PN walaupun tidak menjadi ahli parti gabungan tersebut.
“Jadi inilah perjuangan Perikatan Nasional. Sebab itu saya setuju untuk bersama dengan PN. Saya bukan ahli tetapi saya sokong.
“Ramai orang Melayu sokong walaupun tidak menjadi ahli Perikatan Nasional tetapi mereka sokong. Sikit sebanyak ada kesan juga sokongan mereka,” ujarnya.
Mengulas lanjut Tun berkata, apa yang berlaku di dalam kerajaan pada hari ini bercanggah dengan reformasi dan kebebasan bersuara yang mereka pernah perjuangkan sebelum ini sehingga rakyat ditakut-takutkan dengan pelbagai penguatkuasaan undang-undang untuk menyekat suara rakyat.
“Kita kena tunjuk kepada dia betapa kita tak sokong dia. Oleh itu pada hari pengundian keluarlah beramai. Orang Melayu keluar sebagaimana orang Cina keluar, 100 peratus keluar, undi Perikatan Nasional,” ujarnya lagi.
0 Comments