Join us on Telegram: www.t.me/terkini247

Manifesto calon PN 'Demi Rakyat Kuala Kubu Bharu' fokus lima teras



CALON Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut melancarkan manifesto yang memberi fokus kepada lima teras bagi meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei ini.


Manifesto 'Demi Rakyat Kuala Kubu Bharu' itu mengandungi lima tawaran merangkumi menuntut pembangunan berkualiti dan mampan, kelestarian alam dan persekitaran hijau, memperkasa ekonomi setempat, mengembleng potensi generasi muda dan wanita serta membela masyarakat minoriti.


Menerusi teras pembangunan, Khairul Azhari berjanji mahu mendesak pembangunan infrastruktur dan prasarana asas yang berkualiti serta sempurna disamping menjadi suara warga tempatan seterusnya berperanan sebagai perantara rakyat dan agensi kerajaan.


Bagi aspek kelastarian alam, beliau mahu menyediakan ‘blueprint’ untuk pembangunan bagi mengekalkan persekitaran bersih serta kehijauan alam semula jadi.


Bagi aspek memperkasa ekonomi setempat, beliau berjanji sebagai anak kelahiran Felda Sungai Tengu akan membangunkan sebuah pusat khidmat yang turut berfungsi sebagai pemudahcara serta penyuai temu buat sumber daya warga tempatan dengan pemain industri tempatan.


Di samping itu beliau juga akan menyediakan sebuah platform atas talian untuk mempromosi dan menjadi ejen pemasaran produk-produk tempatan.


Beliau turut berjanji untuk menaiktaraf kemudahan sukan dan rekreasi serta fasiliti awam selain melipat gandakan program pemerkasaan golongan muda dan wanita khususnya dalam bidang sukan serta sosioekonomi sebagai inti pati menggembleng potensi generasi muda dan wanita.


Tawaran terakhir dalam manifesto calon PN itu pula melibatkan pembelaan terhadap masyarakat minoriti yang mana beliau bertekad untuk mendesak perkampungan Orang Asli diiktiraf dan dimartabatkan dengan kemudahan asas berkualiti dan selamat.


Di samping itu juga, beliau mahu menuntut pembangunan yang mesra orang kurang upaya (OKU) khususnya di setiap prasarana awam seluruh Kuala Kubu Baharu.

Post a Comment

0 Comments