Join us on Telegram: www.t.me/terkini247

UMMAH pertahan tindakan Firdaus Wong



Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyatakan bahawa sudah sampai masanya Parlimen meminda perlembagaan bagi membolehkan pengislaman sepihak dan tanpa izin ibu bapa bagi remaja yang mahu memeluk Islam berdasarkan kefahaman mereka tanpa paksaan dan rela hati.


Pengerusi UMMAH Mohd Zai Mustafa berkata Islam merupakan agama persekutuan dan orang Islam boleh menyampaikan kefahaman Islam secara bebas tanpa sekatan dan tidak seperti agama-agama lain yang ada sekatan.


“Islam juga adalah agama yang meraikan kebebasan kepada mana-mana remaja yang ingin memeluk Islam walaupun dibawah umur berdasarkan kepada kefahaman mereka yang mendalam tentang Islam secara sukarela dan suci hati serta tanpa paksaan,” katanya. 


Beliau menegaskan, pihaknya mempertahankan tindakan seorang pendakwah bebas, Firdaus Wong yang menasihati dan memberikan solusi kepada mana-mana remaja bawah umur yang berminat dan ingin memeluk agama Islam tanpa kebenaran ibu dan bapa. 


Menurutnya, walaupun negara mempunyai undang-undang yang menghalang memeluk Islam dengan izin ibu bapa dan melepasi had umur, tetapi seseorang remaja yang mahu memeluk Islam tidak boleh dihalang. 


“Remaja sekarang lebih terbuka, ruang dakwah di media sosial boleh diakses secara terbuka dan global. Maklumat mengenai Islam boleh diperolehi secara terbuka.


“Pendakwah Islam berjaya menyampaikan Islam sebagai agama yang menarik dan diminati oleh golongan remaja,” jelasrnya.


Tambahnya lagi, bagi agama Islam pula, mana-mana pihak yang mahu memeluk Islam secara kefahaman yang jelas tanpa paksaan, ianya segera perlu diislamkan dan dibantu bagi menyelamatkan akidah mereka.


“Mana-mana pihak yang cuba menghalang perkara ini perlu memahami sejarah perlembagaan negara ini yang memberikan perlindungan kepada agama Islam sejak dari awal lagi oleh penjajah,” tegasnya. 


Oleh yang demikian menurutnya, solusi yang diberikan oleh Firdaus Wong adalah jalan keluar yang sesuai buat masa ini berdasarkan sekatan undang-undang yang ada, dan undang-undang yang menyekat perkara ini perlu dipinda segera oleh parlimen.

Post a Comment

0 Comments