Join us on Telegram: www.t.me/terkini247

Pandora Papers: Kesalahan Undang-undang atau Moral?


Pandora Papers merujuk pada dokumen rahsia dan projek pembongkaran besar-besaran oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ), Organized Crime and Corruption Reporting Project (OCCRP) dan saluran media dari 117 buah negara. Dokumen tersebut didakwa mendedahkan aktiviti golongan pegawai tinggi kerajaan, oligarki, dan jutawan seluruh dunia yang menggunakan syarikat olok-olok untuk memindahkan kekayaan mereka ke luar negara dan untuk membeli barangan mewah dan hartanah secara rahsia.     

Pandora Papers ini menyerupai satu lagi penyiasatan ICIJ, Panama Papers yang menggemparkan dunia pada tahun 2016 sehingga menatijahkan serbuan polis dan penggubalan undang-undang baru di banyak buah negara serta kejatuhan perdana menteri di Iceland dan Pakistan. Perbezaannya adalah dikatakan bahawa skop Pandora Papers adalah lebih besar dan merangkumi lebih banyak buah negara. 

Berikut merupakan penjelasan ringkas tentang fakta dan perkembangan isu Pandora Papers di Malaysia: 

1. Kaitan dengan Malaysia

Sama seperti Panama Papers, negara kita sendiri turut terpalit dengan isu Pandora Papers ini apabila didapati bahawa sebahagian individu yang didedahkan adalah warganegara Malaysia.

Antara nama yang terpalit dalam pendedahan Pandora Papers adalah: 

Presiden UMNO, DS Ahmad Zahid Hamidi 

ahli Parlimen PKR dan bekas Bendahari PKR, William Leong 

ahli perniagaan, Tun Zaim Zainuddin  

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

Hal ini tidak dapat tidak telah menimbulkan pelbagai tanda tanya dan gesaan supaya pihak kerajaan meneliti perkara tersebut ekoran kaitannya dengan persoalan ketelusan pimpinan negara.

Pandora Papers juga menerangkan tentang bagaimana Baker McKenzie, firma guaman terbesar di Amerika Syarikat, berperanan mencipta sistem luar pesisir (offshore) moden. Antara pelanggan perkhidmatan Baker McKenzie adalah Jho Low, dalang di sebalik penggelapan lebih $45 bilion dana 1MDB.

Laporan ICIJ mendapati bahawa Low bergantung pada Baker McKenzie untuk membina rangkaian syarikat di Malaysia dan Hong Kong. Menurut pihak berkuasa AS, Jho Low dan Baker McKenzie telah menggunakan sebahagian daripada syarikat-syarikat tersebut untuk memindahkan wang yang dicuri daripada 1MDB.

2. Persoalan undang-undang dan moral 

Antara persoalan pertama yang timbul dalam perbahasan Pandora Papers semestinya adalah sama ada aktiviti tersebut dianggap jenayah di sisi undang-undang dan persoalan moral di sebaliknya. Susulan pendedahan dokumen tersebut pada awal Oktober, Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim telah mengusulkan agar perkara tersebut dibahaskan di Dewan Rakyat. 

Walaupun beliau mengakui bahawa pembukaan akaun di tax haven (pusat kewangan luar pesisir) tidak semestinya melibatkan rompakan atau rasuah, DS Anwar mempersoalkan bagaimana nama-nama yang terpalit membabitkan pembesar, menteri, dan pemimpin negara boleh mengumpul sebegitu banyak wang di luar negara.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pula menyatakan pandangan bahawa Pandora Papers bukanlah berkenaan penyorokan atau pengeluaran berbilion ringgit wang negara, sebaliknya sekadar pendedahan pemegangan saham beberapa individu di luar pesisir. 

Menteri Undang-undang, DS Wan Junaidi Tuanku Jaafar memperingatkan bahawa tidak menjadi satu kesalahan bagi rakyat Malaysia memiliki akaun luar pesisir kerana ia tidak bertentangan dengan undang-undang luar pesisir negara. Walau bagaimanapun, beliau tetap memberikan jaminan kerajaan akan meneliti perkara tersebut dan individu dalam kerajaan yang dinamakan akan diminta menjawab di Parlimen.

Mengulas isu Pandora Papers, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpandangan dokumen tersebut hanya mendedahkan perlakuan tidak bermoral, bukan perbuatan jenayah.   

3. Langkah kerajaan

Berikutan keseriusan isu Pandora Papers kerana kaitannya dengan persoalan ketelusan dan kewangan negara, Menteri Undang-undang, DS Wan Junaidi berkata beliau akan bertemu dengan wakil agensi-agensi penguatkuasa bagi menyampaikan arahan Perdana Menteri tentang perkara tersebut. Beliau turut memberikan jaminan bahawa SPRM, Bank Negara, unit jenayah komersial PDRM dan lain-lain akan dipanggil untuk taklimat tersebut dan akan diberikan tarikh akhir untuk melaporkan siasatan mereka.     

Menjawab komen DS Anwar Ibrahim bahawa tiada tindakan yang diambil selama ini meskipun adanya laporan pengaliran keluar besar-besaran wang negara secara haram, DS Wan Junaidi berkata pembangkang seharusnya memberikan peluang kepada kerajaan dan Perdana Menteri baharu kerana menurut beliau kerajaan berbeza mengambil tindakan berbeza.

Melihatkan desakan pembangkang terhadap kerajaan berkaitan Pandora Papers dan Global Financial Integrity (GFI), DS Najib Razak menyamakan kelantangan mereka dalam isu ini dengan isu-isu lain seperti kes Altantuya dan Teoh Beng Hock; isu dimainkan mereka selama lebih 10 tahun tetapi tidak disiasat atau dinaikkan sebaik menjadi kerajaan sebelum ini.

“Kenapa bila jadi kerajaan, dorang langsung tak berbunyi tentang isu GFI ini?”  

==============================

RUJUKAN:

1. Offshore havens and hidden riches of world leaders and billionaires exposed in unprecedented leak. (2021, October 3). International Consortium of Investigative Journalists. https://www.icij.org/investigations/pandora-papers/global-investigation-tax-havens-offshore/

2. PANDORA PAPERS: 10 COUNTRIES THAT URGENTLY NEED TO ACT. (2021, October 8). Transparency International. https://www.transparency.org/en/news/pandora-papers-10-countries-investigations-policy-reforms

3. Idris, R. (2021, October 11). Pandora Papers dedah pegangan saham – Speaker. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/874944/pandora-papers-dedah-pegangan-saham-speaker

4. Razak, N. (2021, October 14). Sebab saya SOKONG Anwar untuk bahas isu Pandora papers ini ialah saya tidak mahu Rakyat salah faham atau dikelirukan [Image attached] [Status update]. Facebook. https://www.facebook.com/najibrazak/posts/422904092533868

5. Kaur, M. (2021, October 25). Govt will initiate probe on Pandora Papers, minister tells Dewan. Free Malaysia Today. https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2021/10/25/govt-will-initiate-probe-on-pandora-papers-minister-tells-dewan/

6. Noorshahrizam, S.A. (2021, October 25). Dr Mahathir: Pandora Papers exposé shows immoral but not illegal behaviour. Malay Mail. https://www.malaymail.com/news/malaysia/2021/10/25/dr-mahathir-pandora-papers-expose-shows-immoral-but-not-illegal-behaviour/2015884

7. Tan, T., Rahim, R., and Carvalho, M. (2021, October 25). Those with govt positions named in Pandora Papers will have to explain in Parliament, says Wan Junaidi. The Star. https://www.thestar.com.my/news/nation/2021/10/25/those-with-govt-positions-named-in-pandora-papers-will-have-to-explain-in-parliament-says-wan-junaidi


Post a Comment

0 Comments