Join us on Telegram: www.t.me/terkini247

Polis tidak boleh periksa telefon bimbit sewenang-wenangnya - Suhakam



Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meminta orang awam untuk cakna dengan hak asasi masing-masing terutamanya ketika diberhentikan, disoal siasat mahupun ditahan oleh polis.


Suhakam menegaskan polis tidak boleh sewenang-wenangnya memeriksa telefon bimbit seseorang ketika sekatan jalan raya kerana ia dianggap melanggar hak asasi manusia.


“Jika peranti mereka diperiksa sewenang-wenangnya tanpa alasan munasabah, mereka perlu mencatatkan tempat kejadian, nama serta nombor pengenalan pada pakaian seragam polis sebelum membuat aduan kepada Suhakam," katanya.


Suhakam turut meminta supaya kerajaan menjelaskan lebih laniut mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang berkata polis mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon bimbit seseorang berdasarkan syak wasangka yang munasabah.


"Suhakam bimbang dengan kenyataan KPN, bahawa mana-mana pegawai berpangkat inspektor atau lebih tinggi diberi kuasa untuk memeriksa telefon bimbit seseorang di sekatan jalan raya, dengan alasan bahawa ia dibenarkan di bawah Kanun Keseksaan, Kanun Prosedur Jenayah (CPC), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) dan Akta Polis 1967.


“Mengikut Seksyen 116B CPC, seorang pegawai polis berpangkat inspektor atau lebih tinggi hanya dibenarkan mengakses telefon bimbit atau peranti digital lain tertakluk kepada carian sah sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan, di mana polis mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai bahawa satu kesalahan sudah atau sedang dilakukan.


“Seksyen 247 dan 248 CMA juga memerlukan carian dan penyitaan peranti digital dilakukan berkaitan dengan siasatan yang sedang berjalan, dengan alasan munasabah untuk mempercayai bahawa satu kesalahan dilakukan,” katanya.


Menurut Suhakam, bagi mengelakkan daripada kejadian seumpama itu berulang, orang awam boleh membaca buku yang dikeluarkan oleh Majlis Peguam Malaysia bertajuk “Polis dan Hak Asasi Anda” sebagai panduan.

Post a Comment

0 Comments