Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan gambar individu duduk di kerusi di sebuah lapangan terbang yang tular di media sosial sejak semalam adalah gambarnya.
Menurutnya, gambar itu diambil orang awam semasa beliau ‘ditahan’ ketika tiba dan pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah, pada 6 serta 7 April lalu.
Jelasnya, beliau terpaksa mendapatkan pull aside on hold sebelum meneruskan perjalanan ketika tiba dan balik dari negeri tersebut.
"Tulisan saya yang mengandungi 18 para/point pada Khamis (10 April) itu telah saya tulis setelah terjadi kes "pull aside on hold" (untuk mendapat pelepasan dari special branch) adalah ketika saya ke Sabah pada Ahad (6 April) dan pulang pada Isnin (7 April).
"Pergi dan balik berlaku "pull aside on hold." Gambar (yang saya yakin diambil oleh orang awam) berkenaan adalah ketika balik pada Isnin (7 April lalu)," kata Naib Presiden Pas itu.
Ahmad Samsuri pada 10 April lalu mendakwa dirinya dilabel dan ditanda sebagai individu di bawah status 'Travel Control Office/Order' (TCO) dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa sejak pertengahan tahun lalu.
Jelasnya lagi, beloau juga perlu melalui prosedur kawalan keselamatan ketat termasuk ketika berada di sempadan Sabah dan Sarawak selain memerlukan kelulusan khas sebelum dibenarkan melakukan perjalanan ke destinasi tertentu.
0 Comments