Join us on Telegram: www.t.me/terkini247

Jangan Biar Negara Dijajah Semula - Ismail Sabri


Negara mungkin dijajah semula sekiranya rakyat Malaysia tidak mempertahankan kemerdekaan yang diperjuangkan wira terdahulu dalam era modenisasi ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bentuk penjajahan moden yang muncul ketika ini dirasai bukan hanya negara, sebaliknya seluruh dunia yang membabitkan penjajahan bidang ekonomi, teknologi dan budaya.

"Jika kita tidak mempertahankan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh wira terdahulu, maka sejarah mungkin akan berulang dan kita kembali dijajah semula.

"Anasir luar ini menggunakan pelbagai cara untuk menjajah semula dalam bentuk yang lebih canggih.

"Meskipun ancaman penjajahan baharu ini bukanlah dari segi fizikal, namun ia sangat berbahaya dan adalah cara paling mudah untuk menjarah minda dan jati diri bangsa, seterusnya mampu menghancurkan sesebuah negara.

"Hanya rasa cinta kepada negara membolehkan kita terus bekerjasama dan bersatu padu untuk mempertahankan nilai kedamaian, keamanan dan kemerdekaan bagi membangun dan menjaga kedaulatan kita.

"Adat bersaudara, saudara dipertahankan, adat berkeluarga, keluarga dilindungi; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan; Sesungguhnya kita semua satu keluarga; Keluarga Malaysia penyambung warisan," katanya dalam perutusan Hari Kebangsaan 2022, malam ini.

Ismail Sabri berkata, rakyat juga perlu menyerap semangat pahlawan terdahulu memperjuang kedaulatan negara malah mensyukuri nikmat kemerdekaan hari ini.

Menurutnya, ketika perjuangan menentang penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris, dan Jepun, ramai pejuang yang aulia rebah demi mempertahankan pertiwi.

"Nama seperti Mat Kilau, Datuk Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Rentap, Datuk Maharajalela, Dato' Sagor, Haji Abdul Rahman Limbong, Datu Mat Salleh, Rosli Dhobi adalah antara tokoh yang berkorban demi tanah air tercinta.

"Mat Kilau pernah berpesan; perjuangan mesti diteruskan oleh generasi muda, jangan biar tanah air tergadai, jangan sesekali mudah dipicit sehingga terbelah dua.

"Kalau beragama, jangan sekadar pakaiannya (syariat), biar tentu bersih juga tubuhnya (hakikat). Kalau belajar, jangan sekadar ilmunya, biar tentu kukuh juga adabnya. Kalau beramal, jangan sekadar ayatnya, biar tentu juga berbulat dengan rahsiaNya. Itulah antara amanat Pahlawan Mat Kilau yang boleh dijadikan sebagai azimat," katanya.

#Perspektif360

Post a Comment

0 Comments