Dengan masa disifatkan semakin suntuk menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Pakatan Harapan (PH) kini dilihat berada dalam fasa pecutan untuk mempergiat jentera pilihan raya pada peringkat pusat, negeri dan cabang.
Kesiapsiagaan pada peringkat pusat bermula sejak Kongres Nasional PKR 2022 pada pertengahan bulan lalu dan kini tumpuan diberikan kepada negeri dan cabang, yang memerlukan kepemimpinan pada peringkat itu untuk segera bertindak dan tidak lagi berlengah.
Peringatan itu disuarakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022 yang diadakan di Shah Alam, kelmarin dengan satu matlamat, iaitu merampas kembali tampuk pemerintahan yang dimenangi mereka pada PRU lalu.
Konvensyen selama hampir empat jam itu dihadiri Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepemimpinan PKR pusat dan lebih 3,000 pemimpin pada peringkat negeri serta cabang dari seluruh negara.
Menyusuri inti pati dan input dibangkitkan dalam konvensyen itu, tidak dinafikan 'mood' dan naluri PKR sangat terarah untuk menyerbu ke medan perang PRU-15 bagi menghadapi lawan, terutama Barisan Nasional (BN).
Melihat kepada semangat dilaungkan kepemimpinan dan akar umbi PKR pada konvensyen berkenaan, parti itu dilihat tidak lagi seperti cuba mencari rentak seperti selepas tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, sebelum ini.
Pada PRN Melaka, PH hanya memenangi lima daripada 28 kerusi ditandingi, manakala pada PRN Johor, PH memenangi 12 kerusi. Rakan sekutunya, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menang satu kerusi, daripada 56 kerusi ditandingi.
Apabila Bajet 2023 dibentangkan pada 7 Oktober ini, Anwar yakin, PH mampu bersiap sedia seawal Oktober dengan pengagihan kerusi gabungan itu diselesaikan dalam tempoh sebulan dari sekarang, manakala senarai pendek calon PRU-15 dikeluarkan dalam tempoh sama.
Gagasan 'Khemah Besar' juga tiada lagi dalam kamus PH, selepas gabungan terdiri daripada PKR, DAP, AMANAH dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu memuktamadkan keputusan mahu memperkukuh institusi mereka, disifatkan Anwar membuktikan prestasi baik dalam PRU 2013 dan 2018.
Sementara itu, dengan barisan kepemimpinan baharu, terutama dengan kembalinya Rafizi untuk mencatur gerak kerja parti, PKR dilihat yakin berada pada landasan betul dan tidak lagi terperangkap dalam strategi lama, yang tidak menunjukkan tanda membantu kemenangan mereka.
#Perspektif360
0 Comments