Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan telah mengemukakan isu titah adendum Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan.
Menurutnya, beliau telah mengemukakan perkara itu bagi pertimbangan Sultan Ibrahim untuk baginda merujuknya kepada Lembaga Pengampunan, yang akan dipengerusikan baginda, pada masa yang difikirkan sesuai oleh baginda.
Jelasnya, Lembaga Pengampunan akan mengambil kira beberapa perkara termasuk perjalanan kes, hukuman, sikap di penjara, khidmat dan jasa serta kepercayaan boleh menyempurnakan tanggungjawab dengan baik sebelum membuat keputusan pada masa yang difikirkan sesuai.
"Semalam kebetulan di Johor Bahru perkara ini dibincang sepintas lalu, sekali lagi kerana Tuanku Agong nak tahu perkembangan yang terkini. Jadi kita serah kepada wewenang Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong. Pertama, membawa dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan dan menimbangkan sebaiknya," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.
Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada wujud atau tidak Titah Adendum tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar berkata sebagai individu bertanggungjawab, beliau telah kemukakan mengenai isu Titah Adendum kepada Sultan Ibrahim kerana sesiapa pun berhak diberi pertimbangan sama ada menilai soal cara dan kaedah hukuman dijatuhkan atau pertimbangan yang disebut sebagai 'fountain of mercy'.
Bagaimanapun Anwar menegaskan beliau enggan memberi sebarang komen mengenai kewujudan titah adendum tersebut bagi mengelak sub judice (kes sedang dipertimbangkan mahkamah dan oleh itu tidak boleh diperkatakan di khalayak ramai).
0 Comments