Join us on Telegram: www.t.me/terkini247

SITI BAINUN: PEGUAM TARIK DIRI PADA HARI PERBICARAAN


Tiga peguam bela pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali telah menarik diri daripada mewakili beliau dalam prosiding pembelaan di Mahkamah Sesyen pada 16 Januari 2023 dan menyebabkan penangguhan prosiding pembelaan pada hari tersebut. 

Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi telah membenarkan penangguhan kes pembelaan selepas peguam Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau dan firma guamannya menarik diri daripada mewakili Siti Bainun. 

"Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan bela diri namun Nur'Aminahtul Mardiah dan firma guamannya telah membuat permohonan untuk menarik diri daripada mewakili Siti Bainun. Saya juga ambil maklum bahawa tertuduh baru mengetahui perkara itu hari ini". Jelas beliau. 

"Adalah tidak wajar peguam menarik diri kerana ia menyukarkan anak guam. Sekiranya ada masalah, buat permohonan sebelum tarikh hari ini. Sepatutnya, permohonan difailkan awal dan maklumkan kepada tertuduh yang kamu tidak boleh mewakilinya supaya tertuduh boleh mendapatkan peguam lain". Tambah beliau lagi. 

Pada 13 Januari lalu mahkamah juga telah menerima notis penarikan diri peguam Mohammad Farhan Maaruf dan Nur Ellena Mohamed Razif daripada firma guaman lain. 

"Saya tangguhkan prosiding hari ini kepada esok untuk kamu mencari peguam lain menggantikan peguam-peguam yang telah menarik diri atau mengekalkan dua peguam sedia ada iaitu Nurul Hafizah Hassan dan Asiah Abd Jalil". Beliau juga menambah dua lagi peguam yang mewakili Siti Bainun yang tidak hadir pada prosiding 16 Januari lalu untuk menyatakan pendirian mereka. 

Terdahulu, Nur'Aminahtul Mardiah telah berbincang dan memberi penjelasan kepada Siti Bainun mengenai penarikan diri mereka selain menasihati beliau untuk mendapatkan khidmat peguam lain. 

"Pendirian kami untuk tidak teruskan daripada mewakili Siti Bainun kerana tiada arahan daripadanya....Saya minta Siti Bainun mendaftar dengan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) atau mendapatkan khidmat peguam lain." jelas peguam Nur'Aminahtul. 

Ketika disoal Hakim Izralizam sama ada beliau tahu tentang penarikan diri peguamnya, Siti Bainun berkata hanya diberitahu ada masalah masa tetapi tidak tahu berkenaan penarikan diri tersebut. Beliau juga memberitahu akan berbincang dengan peguam berkenaan perkara ini. 

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas pula memaklumkan mahkamah bahawa pihak beliau tidak mendapat surat berhubung penarikan diri ketiga-tiga peguam dan tidak juga membantah sekiranya tertuduh ingin melantik peguam lain atau mendapatkan khidmat YBGK bagi meneruskan prosiding bela diri. 

Siti Bainun telah diperintahkan membela diri atas kesalahan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal serta emosi telah didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
.
#Terkini #Perspektif360

Post a Comment

0 Comments