Kerajaan Negeri Terengganu telah mengenal pasti tanah seluas 120 hektar di daerah Setiu untuk dimajukan sebagai hab penternakan ayam telur bagi merealisasikan hasrat mewujudkan industri penternakan ayam penelur di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ianya bertujuan mengatasi masalah kekurangan telur selain mengelak kebergantungan kepada sumber luar untuk tempoh jangka panjang.
Menurut beliau, setakat ini pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak dan ada yang menunjukkan minat untuk membuka ladang ternakan ayam telur di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, dalam pelan strategik pertanian Negeri Terengganu ke arah 'food security', kerajaan negeri tidak mahu bergantung kepada bekalan daripada luar tetapi hendak jadi pengeluar yang menghasilkan makanan untuk negeri dan kalau ada berlebihan boleh dikongsi dengan negeri lain.
Katanya, projek ternakan ayam penelur itu dijangka dimulakan pertengahan tahun ini dengan menggunakan model sama seperti projek pertanian lain di negeri ini.
Tambahnya, kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama sebaiknya dengan para pelabur yang berminat mengusahakan projek ternakan ayam penelur ini termasuk menyediakan infrastruktur, tapak dan sebagainya.
Dr Azman berkata, kerajaan negeri juga tidak berhasrat untuk mengimport telur dari negara lain termasuk Thailand bagi memenuhi permintaan pasaran, kerana harganya lebih mahal dan kurang berkualiti.
"Setakat ini, kita masih boleh bergantung kepada sumber tempatan disamping harganya yang lebih murah, kita yakin telur tempatan ini lebih berkualiti sebab kalau telur import dari luar negara mungkin memakan masa berminggu-minggu untuk sampai ke outlet-outlet jualan," katanya.
.
#Terkini #Perspektif360
0 Comments