Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan dilemparkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Tiong King Sing kononnya wujud budaya rasuah melibatkan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Presidennya, Khairil Niza Khairuddin berkata sekiranya benar dakwaan terdapat pegawai Imigresen di KLIA terlibat dengan rasuah, Menteri itu sepatutnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya membuat kenyataan media yang boleh dianggap tidak berasas kerana tiada bukti dikemukakan serta hanya bertujuan mengalihkan tumpuan daripada isu utama.
“Sebagai seorang orang kenamaan, beliau seharusnya lebih menghormati undang-undang negara dan tidak mengganggu penjawat awam menjalankan tugas mereka.
“Dalam hal ini, pegawai JIM yang bertugas ketika itu sudah semestinya mengetahui dengan lebih jelas mengenai apa yang berlaku dan mengambil tindakan berdasarkan peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, tugas penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang oleh JIM dan mana-mana badan penguatkuasa di negara ini tidak seharusnya diganggu oleh mana-mana pihak.
Menurutnya lagi, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis jika perkara sama berulang.
“Kami juga bersetuju dengan tindakan JIM yang mengambil tindakan serta merta memulakan siasatan berkenaan isu berkenaan.
“Kami juga senada dengan saranan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar satu siasatan terperinci dilakukan oleh kerajaan berkenaan isu tular mengenai menteri yang didakwa membuat kecoh serta menceroboh dewan ketibaan di KLIA,” ujarnya.
.
#Terkini #Perspektif360


0 Comments