Bekas ahli Parlimen Parit Sulung Ruhanie Ahmad melahirkan rasa terkejut terhadap apa yang terjadi di Dewan Rakyat petang semalam.
Ruhanie yang pernah menjadi ahli Parlimen dari tahun 1990 hingga 2004 berkata, beliau tidak pernah menyaksikan seorang ahli Parlimen yang menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(6) dinafikan haknya untuk menarik balik sangkaan jahat yg dilemparkan kepada dirinya oleh ahli Parlimen lain, waima oleh perdana menteri.
Tambahnya lagi, beliau juga tidak pernah melihat di mana usaha mendapatkan keadilan menerusi 36(6) ini tidak diatasi secara saksama.
"Tidak juga saya pernah alami di mana tindakan itu pula cuba diatasi dengan meminta pihak yang mengeluarkan sangkaan jahat itu membuat penjelasan yang lebih berbelit-belit dan lebih mengelirukan," katanya.
Beliau betkata, lebih aneh apabila pihak yang mahu memelihara nama baiknya terus berkeras untuk diberi keadilan, pihak itu pula dijatuhkan tindakan keluar dewan.
Mengulas lanjut beliau berkata, oleh kerana penjelasan ketua pembangkang untuk memohon pembelaan kepada pihak yang menuntut keadilan pun diketepikan, itulah sebabnya pihak pembangkang bertindak keluar dewan secara beramai-ramai, atas nama solidariti dan setia kawan.
"Inilah contoh kecelaruan yang kini dibimbangi majoriti rakyat jelata. Mereka muak kerana sindrom penafian, putar-belit dan lain-lainnya.
"Pada saya, kekecohan itu boleh diatasi dengan mudah, iaitu dengan meminta pihak yang melemparkan sangkaan jahat, untuk menarik balik kata-kata yang didakwa mengandungi sangkaan jahat," ujarnya.
Ruhanie mencadangkan pihak yang terkesan dengan sangkaan jahat ini perlu segera mendapatkan salinan verbatim Laporan Rasmi Dewan Rakyat mengenainya dengan serta-merta sebelum diedit.
Ini akan membolehkan pihak yang di tuduh mengambil beberapa lagi tindakan memperoleh keadilan menerusi Peraturan Mesyuarat.

0 Comments