Join us on Telegram: www.t.me/terkini247

Bekas Calon BN PRU-15 Didakwa Atas 77 Pertuduhan Menipu


Bekas calon yang mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelapang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas 77 pertuduhan menipu berhubung tawaran pembelian tanah dan rumah yang tidak wujud melibatkan kerugian RM350,000.

Hamidah Muhamad, 47, membuat pengakuan itu di dua mahkamah iaitu 38 pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Prabakaran manakala 39 pertuduhan didengar di hadapan Majistret Nur Atiqah Sapari. 

Hamidah dari parti Makkal Sakti ketika itu mewakili BN didakwa memperdaya empat mangsa antara 2021 dan 2022 dengan menawarkan mangsa membeli sebidang tanah di mukim Pokok Assam dan sebuah rumah dengan niat curang mendorong mangsa supaya memasukkan wang ke dalam akaunnya yang mangsa tidak akan memasukkan wang itu jika tidak diperdaya oleh tertuduh.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Hamidah diwakili peguam S. Singaradivel manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Khoo Kian Peng dan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amalina Harun.

Singaradivel memohon anak guamnya diikat jamin atas alasan masalah kesihatan termasuk menghidap kanser otak dan tulang belakang serta perlu menelan 32 biji pil sehari bagi rawatan penyakitnya. 

Majistret R. Prabakaran menetapkan jaminan RM12,000 secara kolektif dengan dua penjamin bagi 38 pertuduhan manakala Nur Atiqah juga menetapkan jumlah yang sama dengan syarat tambahan iaitu pasport tertuduh mesti diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. 

Kedua-dua mahkamah menetapkan 31 Julai bagi sebutan semula kes berkenaan.
.
#Terkini #Perspektif360

Post a Comment

0 Comments